Isnin, 1 Januari 2024

2024 - TAHUN YANG PENUH CABARAN MENGISI RENCANA

Salam Tahun Baharu 2024 : 





















Daripada meja AJK SuaraAlam, : 

Sukacita kami mengucapkan Salam Tahun Baharu - semoga tahun ini akan mengisi kejayaan yang lebih manis buat SuaraAlam ...setelah tahun 2023 yang ditinggalkan sedikit suram dengan pelbagai rencana yang tidak berjaya di laksanakan dengan sebaiknya. 


Kini, bermula sudah buku baru untuk SuaraAlam merencana perancangan aktiviti seni & budaya bagi mengisi kalendar 2024. Pastinya akan banyak liku-liku yang menjadi penghalang untuk ditempuhi ...

Semoga Ahli-Ahli SuaraAlam akan terus kukuh dan bersemangat dalam merealisasikan semua rencana bagi tahun ini ...

Marilah kita bersama-sama menjayakan misi Program Aktiviti Seni SuaraAlam (#PASS) 2024 dengan lebih komited dan bersungguh. Kita mulakan gerak langkah pertama bermula daripada saat ini ...  

Ayuuhh !! Bersama .... Suara Alam












Bersama Semarakkan Seni Budaya Negara 

Jumaat, 22 Disember 2023

CATATAN SECAWAN KOPI ....

  CATATAN SECAWAN KOPI .... 








Seorang jutawan sedang berada di dalam kereta mewahnya menuju ke pejabat.


Beliau memasang telinga mendengarkan ceramah yang sedang ke udara di radio keretanya.


Penceramah berkata bahawa dunia ini sementara. Kekayaan yang kita miliki ini tiada makna apabila kita sudah mati nanti. Masa hidup ini, perbanyakkan memberi.


Jutawan tadi berasa ceramah itu entah apa-apa.


Katanya kepada pemandu keretanya,

"Orang macam ni nak mengambil kekayaan kita. Sebab tu dia suruh kita memberi ke sini sana." Jutawan tadi mencebik.


Di dalam kepala jutawan tadi, mula berfikir segala hartanya yang ada. Segala emas permata, segala duit simpanan, segala asetnya.


Lalu dia bertanya kepada pemandunya,

"Kamu tahu bagaimana kalau saya nak bawa semua harta saya semasa saya mati? Saya tak nak tinggal sikit pun untuk sesiapa"


Lancar soalannya. Mungkin kerisauan hartanya nanti diambil orang apabila sudah mati.


Pemandu jutawan ini mula bersuara: 

"Bos ingat tak masa bos pergi US dulu? Masa tu bos bawa matawang apa pergi sana?"


"Mestilah USD. Kau dah kenapa tanya aku macam tu?"

Jutawan tadi berasa pelik, tetapi kepalanya masih menerawang akan segala hartanya yang berkepuk-kepuk.


"Bos, kalau kita nak pergi ke Jepun, kita kena guna matawang Yen kan? Kalau kita nak ke Singapura kita gunakan SGD kan? Apa jadi kalau saya nak pergi sana bawa duit RM50 contohnya untuk pergi membeli-belah, pergi makan, pergi berjalan? Mereka terima tak?"


Jutawan itu ketawa besar.


"Kamu nak pergi negara orang, kena ikut matawang negara itu. Mana laku duit kamu tu kalau nak berbelanja di sana. Kamu kena tukar duit kamu siap-siap di sini. Dah tukar duit, baru kamu selamat nak ke luar negara dengan  mudah. Apalah soalan kamu ni"


Pemandu tadi tersenyum.


"Bos, begitu jugalah dengan alam kita selepas dunia. Dia ada 'matawang'nya sendiri. Tak laku dah segala harta kita, segala Dollar, Pound, Ringgit, Yen yang Kita ada ni. 'Matawang' di sana menggunakan amalan kita di dunia. Kalau bos bawa duit bos ke dalam kubur pun, tak laku bos. Takde 'money changer' di sana dah"


Jutawan tadi terdiam,

Rasa tersentak,

Air liur yang ditelan terasa pahit dan perit.😁

#muhasabahdiri 

Ahad, 14 Mei 2023

Enam Pelajaran Pertama Bagi Calon Aktor - Richard Boleslavsky















CATATAN INI ADALAH ARTIKEL ASAL DARIPADA ....

Sdra Roslan Madun 

Felo Perunding (Seni Budaya) UMP / 

Aktivis Teater Pahang 

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

TEATER PEREMPUAN TERJAHANAM, SIAPA YANG JAHANAM?

Catatan kecil : Roslan Madun


Menonton teater PEREMPUAN TERJAHANAM di black box Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang, memberikan saya satu pengalaman menarik. Dari awal masuk panggung, saya membuang ego dan tidak membawa harapan yang terlalu tinggi. Saya sedar, mereka ini bukan dari fakulti teater seperti di ASWARA atau Universiti Malaya (UM). Mereka adalah mahasiswa yang belajar tentang mesin, bukan bidang seni pun.


Tidak adillah jika saya membandingkan dengan pementasan yang hebat-hebat di Kuala Lumpur. Meski sebenarnya masih banyak pementasan berlabelkan Kuala Lumpur yang tidak hebat. Saya awalnya sudah menyatakan kesediaan untuk berdiskusi bersama para pelakon setelah usai pementasan, namun saya menukar pendirian untuk menulis artikel ini supaya dapat dikongsikan dalam grup, dengan harapan catatan kecil ini dapat memberi manfaat.


Bila bercakap tentang seni lakon, saya suka merujuk kaedah kerja lakon dari tokoh terkenal teater dari Poland, Richard Boleslavsky. Teorinya dipakai oleh seluruh dunia. Buku nipisnya yang saya perolehi dari Wahyudin, pemimpin Sanggar Nuun di Jogja, Indonesia merupakan asas yang kukuh untuk menjadi aktor. Richard Boleslavsky dalam buku yang berjudul “Enam Pelajaran Pertama Bagi Calon Aktor” itu, memfokuskan tentang konsentrasi, permainan emosi, pergerakan dramatis, pembangunan watak, observasi serta irama. 


(1) KOSENTRASI yang betul akan menjadikan pelakon benar-benar berada di dalam watak yang dimainkan. Apabila pelakon memahami konsep ini seseorang pelakon itu akan lebih nutral semasa berlakon, tidak dibuat-buat.

 

(2) Kepelbagaian EMOSI dalam sesuatu watak, akan menjadikan pelakon itu lebih efektif serta jujur jiwa dan raganya bermain di ruang lakon. Kebenaran emosi penting dalam memberi impak kepada situasi watak dari mula hingga akhir permainan. Emosi yang mendatar mengakibatkan lakonan menjadi tawar, emosi yang tidak terkawal pula akan menyebabkan lakonan menjadi huru hara. Emosi sedih dan gembira misalnya tidak boleh dibuat-buat, tetapi mesti benar-benar dirasai.


(3) PERGERAKAN DRAMATIS bererti tingkah laku pelakon di atas panggung mewakili watak yang dimainkan. Pelakon tidak boleh berbohong atau berpura-pura menjadi watak yang diperan, sedangkan rohaninya masih bertuankan diri sendiri dan fizikal masih yang biasa dilakukan setiap hari.


(4) PEMBANGUNAN WATAK penting sesuai dengan latar belakang watak yang dipegang. Untuk menghidupkan watak, seseorang pelakon wajib mengenal watak yang dimainkan secara total. Kerja menggali keperibadian watak itu ibarat membaca biografi watak tersebut seluruhnya, kemudian diaplikasikan oleh pelakon hingga ke atas panggung.


(5) OBSERVASI atau Pemerhatian terhadap segala situasi di sekeliling watak dan kehidupan watak itu tidak boleh dianggap enteng. Pengamatan ini sangat membantu pelakon membina ingatan terhadap tindak tanduk manusia. Dengan kefahaman tersebut pelakon dapat memilih aksi yang tepat dalam gerak pentas mereka.


(6) IRAMA atau Tempo adalah perubahan-perubahan yang teratur dari satu detik ke detik berikutnya, dengan segala unsur terkandung di dalam sebuah pementasan teater. Mengabaikan irama atau tempo akan mencelarukan seluruh perminan. Perubahan-perubahan yang berlaku dari mula muncul hingga ke akhir mempunyai tingkat-tingkat yang mesti dikawal dengan baik. 


Untuk mendapatkan irama atau tempo yang betul, setiap pemain wajar mempunyai kesadaran terhadap diri sendiri bahawa dia sedang memainkan watak orang lain agar penonton percaya akan segala pertuturan dan perbuatannya di atas panggung. Ia juga menuntut kerjasama dari rakan lakon bagi menguasai seluruh perjalanan cerita. 


** Menurut Richard Boleslavsky lagi, cara yang dapat membantu menguasai irama atau tempo ialah Peka dengan semua situasi. Hayati setiap perkataan rakan lakon dan Segala tingkah lakunya. Jangan bermain sendirian tanpa respon kepada suasana keliling.







Saya sangat simpati dengan watak Aisyah dalam Cerita 1 bertajuk “Aisyah”. Kesungguhan memainkan watak Aisyah itu sangat ketara. Pelakon ini cuba sehabis kudrat untuk memberikan seluruh jiwa raga supaya penonton dapat merasakan apa yang Aisyah rasa dalam liku kehidupan seorang gadis malang. Namun gelak ketawa penonton telah memberikan jawapan tanpa perlu saya mengulas. Terutama bila muncul watak Lan yang tidak jelas sama ada bersimpati atau ingin menambahkan lagi penderitaan Aisyah.


Penonton tidak boleh disalahkan jika mereka ketawa ketika pelakon bersedih. Begitu juga ketika dialog yang tak patut diketawakan. Ini bermakna pelakon belum mampu berkongsi kesedihan dengan penonton. Memang Aisyah begitu bersungguh-sungguh bermain wataknya, tapi menjerit-jerit bukan jawapan untuk penonton bersimpati kepadanya. Tidak perlu terlalu tinggi suara kerana mereka bermain dalam black box yang kecil, malah jika berbisik pun dapat didengar hingga ke belakang.


Yang diharapkan ialah permainan emosi yang dapat menakluk hati semua penonton termasuk saya, bagi sama-sama bersedih melalui peristiwa pahit yang dialami oleh Aisyah itu. Justeru enam perkara yang saya utarakan di atas wajar menjadi pedoman kepada Aisyah dan pelakon-pelakon lain jika ingin menewaskan gelak ketawa penonton pada pementasan malam seterusnya. Watak Lan pula perlu membezakan antara persembahan lawak jenaka dengan teater. Bila penonton ketawa sedangkan dialognya mengenai kehidupan yang serius, maka Lan juga perlu berhati-hati.


Cerita 2 bertajuk “Hawa” sangat menarik, bila Hawa menjadi suspek utama pembunuhan suaminya. Watak Inspektor dengan fizikal dan tonasi yang menyakinkan, sepatutnya membantu Hawa untuk berlakon dengan lebih berkesan. Namun kepelbagaian emosi yang sepatutnya dapat memancing rasa ingin tahun penonton, tidak terjadi. Hawa masih seperti Aisyah yang sebati dengan dialog hampir menjerit di satu-satu ketika. 


Seorang pesalah seperti Hawa lumrahnya akan sangat berhati-hati dalam berbicara. Setiap kali ingin berkata, akan berfikir dulu, agar kejahatannya tidak dapat dikesan. Justeru jika irama atau tempo permainan dalam cerita ini lebih terkawal, maka cerita ini akan dapat dinikmati dengan lebih lazat dan penonton mungkin akan menukar gelak ketawa kepada simpati yang mendalam. Kesungguhan Hawa memainkan wataknya sangat luar biasa. Ia hanya perlu dibekalkan dengan ilmu lakon yang betul untuk pelakon ini meletup dalam teater-terter lain nanti.


Saya juga cuba menghayati Cerita 3 bertajuk “Sari”. Namun saya dikelirukan oleh pencahayaan. Apakah ia sebuah cerita di alam nyata atau alam lain. Pada aksi dan dialog-dialog tertentu ternyata ia sebuah cerita bukan di alam nyata. Tonasi yang berbeza dengan dua cerita sebelumnya adalah lebih logik, tidak hanya mengilai. Sayang juga kerana penonton masih gelak ketawa di waktu yang tidak sepatutnya. Keadaan ini berlaku sama ada mereka tidak dapat menghayati jalan cerita atau tidak tersentuh dengan permainan watak oleh pelakon-pelakon.


Pada hal watak Awang cukup baik dimainkan jika diukur dari taraf amatur mereka. Seharusnya watak-watak lain juga dapat motivasi dari watak Awang itu supaya cerita ini menjadi klimiks yang diharapkan oleh pengarahnya Lo’ie. Apa pun kesemua pelakon telah cuba sehabis daya membawakan watak yang diamanahkan. Mereka semua wajar mendapat penghargaan.


Seperti catatan awal saya di atas, mereka semua adalah mahasiswa bukan bidang teater, justeru tidaklah boleh diukur kebolehan mereka dengan kumpulan teater profesional. Apa pun saya ucapkan tahniah kepada seluruh team Waris Production kerana berani mementaskan teater ini. 


Sepatutnya tiket tidaklah semurah itu kerana kerja pementasan bukan seperti jual goreng pisang, ia memerlukan banyak ilmu dan pengalaman serta melibatkan komuniti yang besar dan beragam. Kepada team ini, buanglah sifat putus asa jauh-jauh ke rimba atau ke lautan, teruslah berteater sehingga nikmat teater itu dapat dirasai bukan saja oleh penonton tapi untuk diri sendiri.


Roslan Madun 

4 Mei 2023

Ahad, 8 Januari 2023

Salam Budaya 2023 - Permulaan Sebuah Kelestarian

 Salam Budaya 









Permulaan tahun 2023 ini dengan semangat yang tinggi setelah beberapa siri persembahan yang berjaya di laksanakan pada tahun 2022 ... 

Antara kejayaan yang telah dilaksanakan oleh SuaraAlam pada 2022 ... 

1 - Teater Terbuka MASAHORO OPU RAJA SITI (kerjasama bersama MTS)

2 - Teater Komuniti PAWANG WAK KOBID 

3 - Teater Gelanggang Teater III @KotaSeni PJ 2022 - WARONG 

4 - Teater Bangsawan TITAH MENUSUK RETAK (kerjasama bersama KSSK

5 - Teater Bangsawan KIAMBANG BERTAUT RETAK BERSURIH (kerjasama bersama KSSK)


Semoga SuaraAlam akan terus suksess dalam melaksanakan aktiviti kesenian dan budaya bagi tahun 2023 ini pula. Beberapa perancangan kini sedang di aturkan dengan beberapa siri perbincangan antara AJK SuaraAlam sedang giat diadakan ...





Sekian, 
-Admin

Jumaat, 23 Disember 2022

KEMBARA NGO SENI BUDAYA 2022

*proses editing

Salam Budaya & Salam 1Malaysia



Berasa sangat teruja untuk sama-sama merealisasikan program KEMBARA NGO Seni Budaya 2022 ini bersama JKKN Ibu Pejabat dan Majlis Teater Negeri Selangor (MTS). Program yang awalnya di rangka pada 20 - Oktober terpaksa ditangguhkan atas faktor pembubaran kerajaan untuk PRU15. 

Maka pada tarikh 20hb hingga 23hb Disember 2022 telah dilestarikan program ini untuk menjelajah ke lima(5) negeri yang terpilih. Iaitu Pahang - Johor - Melaka - negeri Sembilan dan akhirnya ke KL (@MaTIC, Jln Ampang) 

Ringkasnya, ia adalah satu usaha yang baik antara JKKN dan NGO Budaya ie MTS dalam usaha mengangkat Seni Budaya ke satu tahap yang lebih tinggi di samping mempromosikan aktiviti seni & budaya dan Tokoh Budaya supaya tidak hilang di tinggal zaman. 


PAHANG : 

Kami bermula di Pusat Sampul Surat OKU Sg Lembing, Kuantan - Pahang 

Persembahan budaya - daripada aktivis seni daripada Kelab Serindit mati Tersepit, sdra Mat Kayan dan anak-anak buahnya beserta Tokoh Syair sdra Roslan Madun


JOHOR : 

Kami bermula di FELDA Ayer Hitam, Kluang - Johor 


Persembahan budaya - dimulakan dengan persembahan Angklung, di ikuti dengan Zapin dan Keroncong daripada Kelab Kebudayaan Kluang, Johor. 


MELAKA : 

Kami menyinggah dahulu di Pejabat JKKN negeri di Ayer Keroh sambil meninjau kemudahan Auditorium (Panggung Sari) JKKN Negeri yang ketika itu sedang sibuk menyiapkan program Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022


Persembahan budaya - daripada aktivis Dondang Sayang di Arang Cafe, Kg Hulu - Melaka


NEGERI SEMBILAN : 

Kami terus menuju @Academy DRB-Hicom sebagai check point terakhir kami 


Persembahan budaya - Dikir Rebana, Tarian Samrah, Temporing??


KUALA LUMPUR : 

Kami akhirnya sampai di M@TIC Jln Ampang, KL sebagai destinasi terakhir kami. 



Semoga program ini akan menjadi satu program tahunan antara JKKN dan NGO Budaya dalam mengangkat seni & budaya negara. 

Sekian, 

_Admin_ 

Sabtu, 10 Disember 2022

GELANGGANG TEATER III @KOTASENI PJ 2022 KEMBALI DENGAN 8 KUMPULAN

 GELANGGANG TEATER III @KOTASENI PJ 2022 KEMBALI ...

Setelah tertangguh selama 2 tahun akibat pendemik Covid-19, kini Suara Alam kembali mewarnai Gelanggang Teater @Kota Seni PJ untuk tahun 2022 untuk musim ke-3 

Dengan naskah baru bertajuk WARONG - hasil idea bersama Sdri Ain Hidayah dan Sdra M.Rosslie (Suara Alam) untuk memberi ruang dan peluang kepada Ahli-ahli kembali aktif. 























Semoga produksi kali ini dapat membawa sesuatu kepada Juri ! :) 


- Admin

Khamis, 8 Disember 2022

RUMAH SENI JKKN - PUSAT INFORMASI PENGGIAT SENI

 




Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera,

Salam Budaya, 


Sukacita memaklumkan bahawa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melalui Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya (PPSB) telah membangunkan PLATFORM DIGITAL yang dinamakan *Rumah Seni JKKN*. 

Ianya merupakan Sistem Pangkalan Data Profil Penggiat / Persatuan / Kumpulan / Usahawan Seni Budaya berdasarkan enam (6) kategori (bidang) iaitu 

1. Tari, 

2. Teater, 

3. Muzik, 

4. Pengurusan Pentas, 

5. Permainan Tradisional dan 

6. Badan Peneraju Industri Seni Budaya (Rekod Sijil Kemahiran Malaysia, Pegawai Penilai/Pegawai Pengesah Luaran, Pusat Bertauliah bidang seni budaya) melalui paparan platform digital selaras dengan agenda pendigitalan sektor awam dan transformasi digital JKKN.

Sehubungan itu, kerjasama YBrs. Tuan/Puan adalah dipohon untuk mendaftar berdasarkan bidang seperti mana pautan seperti berikut: 


rumahsenijkkn.my/pendaftaran/


Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh menghubungi Pegawai Bahagian PPSB iaitu ;


i) *Encik Mohamad Nor Azlan bin Zulkfhli* di talian *03-2614 8237 / 016-690 5944 

ii) *Puan Nur Kharina binti Kamal* di talian *03-2614 8240 / 012-789 3690 

iii) *Encik Abdullah Deen bin Mohd Zain* di talian *03-2614 8230 / 019-939 0001 

iv) Puan Norbaizura binti Norkeman di talian *03-2614 8225 / 018-321 4383  


PENDAFTARAN oleh Penggiat / Persatuan / Kumpulan / Usahawan Seni Budaya hendaklah dilaksanakan selewat-lewatnya pada atau sebelum *15 Disember 2022 (Khamis)* bagi tujuan penjanaan data dan statistik JKKN tahun 2022. 

Perhatian dan kerjasama YBrs. Tuan/Puan berhubung perkara  ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih..

Sekian, 


-Admin-