Khamis, 31 Disember 2020

SALAM TAHUN BARU 2021

Salam Budaya 


Salam Tahun Baru ..

Setelah berakhir 2020 dengan pelbagai cabaran dan dugaan di 'era pandemik C19' yang telah membataskan pelbagai aktiviti seni persembahan terutamanya TEATER 


Moga kehadiran tahun baru 2021 ini, akan membawan sinar baru ... untuk semua NGO Budaya dalam menyemarakkan seni budaya negara ... dengan norma baru dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan diharapkan selepas ini, NGO Budaya akan kembali aktif ...


SUARAALAM berharap, dapat menemui kembali semua peminat teater di tahun 2021 ini dengan HARAPAN baru ...

.

Khamis, 24 Disember 2020

CATATAN PROF. Di-RAJA UNGKU AZIZ (2002) - TRAGEDI PEMIKIRAN MELAYU



TRAGEDI PEMIKIRAN MELAYU 

KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. 

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga(3) pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah.


Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di Universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.


Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.


Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.


Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu TIDAK BERUBAH. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.


Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi – daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya (2) Budaya Wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.


Sekarang ini semua orang Melayu hendak KAYA ...

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.


Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.


Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.


Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.


Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.


Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.


Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.


Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.


Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.


Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu : 

Pengaruh Barat, 

Peranan Media Massa, 

Politik serta 

Agama.


Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun PAS, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah Usahawan.


Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi Usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.


Tetapi itulah minda Melayu sekarang.


Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.


SEKIAN ...


------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.

  (1922 - 2020)







Jumaat, 20 November 2020

SANGKAR MADU - ilham-rasa SUARA ALAM

Salam Budaya ..

Salam Teater ... :) 


Assalàmmualaikum... 

pada kali ini-nya, Suara-Alam membuat cubaan pertama dalam seni pementasan teater secara alam digital pada 21/11/2020 (Sabtu) ini... 

Suara-Alam menerima jemputan daripada Persatuan Seni Ceritera untuk mencuba Teater Pendek (30-minit) ini secara Rakaman LIVE ... 

yang akan berlangsung terus dari facebook bersama dengan 2 lagi persembahan dari kumpulan lain..


Anda boleh saksikan persembahan secara live ini di page facebook.com/ceriterafm  



JADUAL PERSEMBAHAN : 

1) Seni Ceritera

 Tajuk : MENGHADAP KE PELABUHAN 

 Masa Live : 12.00 tengahari


2) PARALLACT ART

Tajuk : CERMIN

Masa live : 3.00 petang


3) SUARA ALAM

tajuk : SANGKAR MADU 

Masa Live : 6.00 petang.





















Pada naskah kali ini, SuaraAlam menampilkan wajah baru iaitu sdri Syel Ramlan untuk sama-sama bergadingan dengaan Dean Sitara dan Azmie Daim untuk menghasilkan suatu persembahan yang terbaik. 

Apakah hasilnya nanti SANGKAR MADU ini..!! Marilah saksikan ... 

secara langsung ini ... di ; 

http://ceriterafm.my/       dan    https://www.facebook.com/CeriteraFM/ 


..

Admin- SA

PERTANDINGAN MONOLOG FESTIVAL CITRA BAHASA DBP

PERTANDINGAN MONOLOG FESTIVAL CITRA BAHASA BERSEMPENA DENGAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN 2020 PERINGKAT PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN DAN FESTIVAL SENI TEATER MALAYSIA 2020 PASCA COVID-19


Salam Budaya,

Salam Teater ..

Alhamdulillah, pada Oktober yang lalu - dapat juga ahli-ahli kami untuk beraktiviti di kala pendemik C19 ini dengan menyertai pertandingan Monolog Pendek ini sebagai melepas rindu untuk beraksi lakon...

Sempena festival citra bahasa, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Teater Malaysia (PTM) menganjurkan pertandingan ini pada 11-Oktober (Ahad) di Stor Teater DBP, Wisma DBP Kuala Lumpur.  

 .. ..Walaupun masa agak terhad, Tahniah dan syabas kepada 2 pemain kami yang mencuba nasib dengan penyertaan terhad kepada 10 kumpulan sahaja iaitu sdra AZMIE DAIM dan MAMAT JAMIL ... dengan naskah ... 













Walaupun acara ini dibuat secara TERTUTUP, tetapi pihak DBP/PTM telah mengada siaran tertunda di facebook DBP & PTM untuk tontonan umum. Pertandingan ini di adili oleh En M Diani Kasian (UKM), En Sakrani Samsudin (PTM) dan Pegawai DBP.  

**Link siaran : DBP Malaysia - Monolog

 .. 

Pic. : Keputusan Pertandingan


Terima kasih atas penyertaan mereka dan sokongan anda kepada #SuaraAlam.

Sampai Jumpa lagi!

#BahasaJiwaBangsa

#DekadBahasaKebangsaan

#MalaysiaMembaca

.. 

admin- SA



Rabu, 2 September 2020

2020 vs COVID-19

Terjawab sudah ujian kita hari ini 🌐 



DIALOG : 
JAWAPAN ALLAH

Ya Allah, apakah gerangan yang sedang menimpa kami saat ini?
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan” (QS. Al-Baqarah : 155).

Mengapakah kami harus diuji dengan wabak Corona seperti ini?
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (QS. Al-Ankabut : 2)

Untuk apa sesungguhnya ujian ini, ya Allah?
“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa (seseorang) kecuali dengan izin Allah; barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk ke (dalam) hatinya”(QS. At-Taghabun :11)

Namun, mengapa harus terjadi pada kami?
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta” (QS. Al-Ankabut : 3)

Dari mana datangnya musibah ini ya Allah?
“Dari mana datangnya ini?” Katakanlah: “Itu dari dirimu sendiri” (QS. Ali Imran: 165).

Tapi ya Allah, wabak ini sungguh buruk bagi kami….
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (QS. Al-Baqarah : 216)

Telah sesak nafas kami, berat hidup kami, gara-gara wabak ini….
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (QS. Al-Baqarah : 286)

Kami tidak boleh bekerja ya Allah, kami dikurung di rumah saja, kami tidak boleh berbuat apa-apa….
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS. Ali Imran : 139)

Terkadang, wabak ini memberikan tekanan yang demikian dahsyat kepada kami. Rasanya kami telah menyerah kalah. Sebahgian dari kami bahkan telah berputus asa.
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yg berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir” (QS. Yusuf : 87)
“Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Rabbnya, kecuali orang-orang yang sesat” (QS. Al-Hijr: 56)

Kami menjadi gelisah, tidak tenang, kerana beban berat yang kami hadapi akibat wabak ini….
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram” (QS. Ar-Ra’du: 28).

Di saat sempit seperti ini, masih adakah jalan keluar bagi kami? Masih adakah pintu rezeki untuk menyambung hidup kami ya Allah?
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan baginya jalan keluar (dalam semua masalah yang dihadapinya), dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya” (QS. Ath-Thalaq: 2-3).
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya kemudahan dalam (semua) urusannya” (QS. Ath-Thalaq: 4).

Tapi, perusahaan/syarikat sudah memotong gaji kami. Bahkan sebahgian dari kami, sudah tidak memiliki pekerjaan lagi. Siapa yang akan memberikan rezeki kepada kami?
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya” (QS. Hud: 6)

Sudah lebih dari sebulan kami menjalani kehidupan Stay At Home. Rasanya sudah tidak kuat untuk terus menerus dikurung di dalam rumah. Lelah ya Allah. Sungguh kami tidak tahu, sampai bila suasana ini….
“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (QS. Ali Imran : 200)

Mengapa Engkau menyuruh kami untuk dbersabar?
“Allah mencintai orang-orang yang sabar” (QS. Ali Imran : 146)

Adakah balasan atas kesabaran kami ya Allah?
“Sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan” (QS. An-Nahl : 96)

Alhamdulillah...berapa banyakah pahala yang akan Engkau berikan kami?
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” (QS. Az-Zumar : 10)

Subahanallah… Lalu bagaimana nasib kami kelak di akhirat ya Allah?
“Sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu (syurga), (sambil mengucapkan) ‘SeLamat untuk kalian atas kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu” (QS. Ar-Ra’du : 23-24)

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Sekarang kami tenang ya Allah. Kami redha dengan ketentuan-Mu. Kami bersabar dengan ujian-Mu.

“Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya” (QS. Al-Bayyinah : 8)

“Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keberuntungan yang besar” (QS. At-Taubah : 72).

 
..






Sabtu, 2 Mei 2020

KISAH KUIH MELAYU ! ... APAKAH MELAYU SUDAH ... ?





Apakah Melayu sudah Bankrup?

Perbualan penjual kueh dengan seorang perempuan muda Melayu bekerjaya, saya cuma pasang telinga sajaaa🌹

"Makcik, bagi kuih ni 2, yang ni 3," kata Nora.

"Tak nak tambah lagi satu nak bagi cukup tiga ringgit?" tanya makcik itu.

"50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?" tanya Nora secara berseloroh. "Bolehlah, saya tambah lagi satu biji."

Makcik itu menyepit kuih lapis berwarna merah jambu itu lalu diletakkan di dalam plastik putih, lalu dimasukkan ke dalam plastik kecil berwarna kuning.

"50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik," jawab makcik itu.

"Ye ke ni cik?" tanya Nora semula.

"Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana," jawab makcik.

Makcik itu menghulurkan beg plastik kuning berisi 6 biji kuih itu kepada Nora.

"Adik agak pukul berapa makcik start buat kuih tu?" tanya makcik itu.

"Tengahari, dalam jam 11 macam tu," agak Nora.

"Makcik buat seorang, dari pukul 10 pagi," jawab Makcik tu. "Dalam pukul 3.30 dah kena siap semua, pukul 4 makcik dah ada dekat sini bukak gerai, selalunya dalam 6.30 makcik dah kena tutup, sebab anak-anak nak balik sekolah," beritahu makcik itu.

"Sekarang pukul berapa ni dik?" tanya makcik itu lagi kepada Nora.

"5 suku," jawab Nora.

"Adik pelanggan kedua makcik hari ni," jawab makcik itu. "Berapa ringgit makcik untung jualan atas adik? RM1, RM1.20."

Nora diam sahaja.

"Berapa biji kuih pelanggan pertama makcik beli tadi? Tiga," kata makcik itu sambil mengangkat jari. "Katalah makcik untung dengan dia RM1.00. Dari jam 10 pagi sampai sekarang, makcik baru untung RM2.20."

Tak pernah Nora terfikir semua itu sebelum ini.

"Dulu makcik jual goreng pisang, yang tu untung dia banyak sikit, tapi lepas anak makcik dah masuk sambung belajar, makcik tak larat nak buat," beritahu makcik tu. "Tu kuih ketayap yang adik beli tu, berapa lama adik rasa satu biji kuih tu nak siap?"

"Sejam lebih," agak Nora lagi. "Nampak macam leceh nak membuatnya tu. Maaf makcik, saya nak tanya, kalau tak untung, kenapa makcik meniaga?"

Makcik itu merenung muka Nora.

"Sebab ada ramai orang Melayu nak makan kuih Melayu, kalau makcik tak meniaga, siapa lagi yang nak meniaga kuih Melayu," jawab makcik itu. "Makcik suka meniaga. Lagipun makcik bukan pandai buat benda lain dah sebenarnya. "

Makcik itu menyusun bekas-bekas kuih yang ada, "tapi maaflah dik takut adik terasa, makcik nak kata, orang Melayu kita sekarang ni pelik dik."

Nora terdiam tertanya-tanya. "Pelik macam mana tu Cik?"

"Orang kita makan donut sebijik RM3 tak apa, sushi sebijik RM2 tak apa, tapi bila cerita pasal kuih tepi jalan, 50 sen sebiji, mahal," Makcik itu senyum.

Nora terdiam lagi.

"Adik pernah cuba buat kuih orang kita?"  tanya makcik itu tiba-tiba.

"Tak pernah lagi, kuih bahulu ada la saya cuba buat masa raya dulu," jawab Nora.

"Berapa sen adik rasa berbaloi nak jual kuih bahulu sebiji yang adik buat dari mula sampai siap?" tanya makcik tu.

Nora hanya diam. Terkenang penat dan lenguh tangannya memukul telur.

"Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah," kata makcik itu. "Tapi makcik sedih tengok orang kita, yang dah tak peduli nak jaga apa yang kita ada."

Nora diam sahaja mendengar. Dia hanya merenung melihat makcik itu meneguk sedikit air kosong dari botol air berkarbonat yang dibawa.

"Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik 2 ringgit, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua," kata makcik tu.

"Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik?" tanya makcik tu.

"Kalau makcik mati nanti, anak-anak makcik semua dah tak mau buat kuih. Yang perempuan pun tak minat nak belajar macam mana, nanti-nanti takkan la semua orang Melayu nak makan sushi dengan donut aje hari-hari?" Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora.

"Eh, makcik, ni kan duit kuih saya," kata Nora.

"Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan," jawab makcik itu.

"Kenapa pula makcik?" tanya Nora kehairanan.

"Sebab kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu, tak ada orang lain lagi yang akan tolong orang kita," jawab makcik itu.

"Saya mampu makcik," balas Nora.

"50 sen sebiji adik kata mahal, tak mampu lah tu," kata makcik itu tersenyum, ikhlas.















KESIMPULAN DARI PERBUALAN ATAS

# kalau rasa 50sen tu mahal jangan beli
# kek secrect resepi murah je boleh beli
# jangan bantu orang susah
# bantu orang senang
# harga berpatutan dah jangan pertikai
# tolong hargai susah payah orang yg buat
# cuba buat sendiri agak2 dpt ke seketul 20sen
# agak2 faham ke
# beli kt pasaraya tak minta kurang pun.
# dah murah nak murah lagi
# please la fikir dan nilaikan
# jual harga standard pun minta kurang melampau2

Fikirkan wahai melayu ;)

#melayusejati🌹
Kejadian di Kulim Kedah

#c&p kisah tauladan.

Salam Ramadhan 1441H

Salam Budaya ...

Barisan pengurusan SuaraAlam mengucapkan ...

Selamat Menyambut Ramadhan 1441H
&
Selanat Beribadah






ikhlas drp;
AJK SuaraAlam 2019/20

Salam Tahun Baru 2020 & Teater KIta

Salam Seni Budaya, 
Salam Kejayaan buat semua aktivis Seni ...

Tahun 2020 sudah melangkah masuk dengan seribu satu harapan dan impian...

Semoga SuaraAlam akan meniti peluang dan ruang dalam menghasilkan suatu persembahan yang terbaik buat tahun 2020 ini ... 

Mengikut perancangan yang telah dibincangkan bersama, ins-sha-Allah tahun ini kita akan sedia untuk pentaskan dua(2) naskah untuk tontonan khalayak khas daripada team produksi SuaraAlam ! Nantikan kemunculan nya ...
:) 

Ayuh bersama... kita hasilkan satu karya yang terbaik buat tahun 2020 ini



Salam Tahun Baru 2020