Isnin, 12 September 2016

Puisi MELAYU (Dr Usman Awang ) Untuk Renungan


Kami memang meminati karya-karya puisi Usman Awang. Tulisannya pendek bersahaja tetapi padat bermakna. 
Pusi karya Usman Awang yang ingin Kami kongsikan bersama kali ini memang mempunyai maksud yg mendalam... Ia bertajuk 

'Melayu': 

Melayu itu orang yang bijaksana 
Nakalnya bersulam jenaka 
Budi bahasanya tidak terkira 
Kurang ajarnya tetap santun 

Jika menipu pun masih bersopan 
Bila mengampu bijak beralas tangan. 
Melayu itu berani jika bersalah 
Kecut takut kerana benar, 
Janji simpan di perut, Selalu pecah di mulut, 
Biar mati adat, Jangan mati anak. 

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya: 
Jawa itu Melayu, 
Bugis itu Melayu 
Banjar juga disebut Melayu, 
Minangkabau memang Melayu, 
Keturunan Acheh adalah Melayu, 
Jakun dan Sakai asli Melayu, 
Arab dan Pakistani, semua Melayu 
Mamak dan Malbari serap ke Melayu 
Malah mua'alaf bertakrif Melayu 
(Setelah disunat anunya itu

Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman 
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan....
Melayu itu kaya falsafahnya - Kias kata bidal pusaka 
Akar budi bersulamkan daya - Gedung akal laut bicara 

Malangnya Melayu itu kuat bersorak 
Terlalu ghairah pesta temasya 
Sedangkan kampung telah tergadai 
Sawah sejalur tinggal sejengkal 
Tanah sebidang mudah terjual 
Meski telah memiliki telaga 
Tangan masih memegang tali 
Sedang orang mencapai timba... 

Berbuahlah pisang tiga kali 
Melayu itu masih bermimpi 
Walaupun sudah mengenal universiti 
Masih berdagang di rumah sendiri. 

Berkelahi cara Melayu 
Menikam dengan pantun, Menyanggah dengan senyum 
Marahnya dengan diam, 
Merendah bukan menyembah, Meninggi bukan melonjak 

Watak Melayu menolak permusuhan 
Setia dan sabar tiada sempadan 
Tapi jika marah tak nampak telinga 
Musuh dicari ke lubang cacing 
Tak dapat tanduk telinga dijinjing 
Maruah dan agama dihina jangan 
Hebat amuknya tak kenal lawan 

Berdamai cara Melayu indah sekali 
Silaturrahim hati yang murni 
Maaf di ungkap senantiasa bersahut 
Tangan di hulur sentiasa bersambut 
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan 
Segala yang ada sanggup diberikan 
Sehingga tercipta sebuah kiasan: 
   "Dagang lalu nasi ditanakkan, Suami pulang lapar tak makan,
    Kera di hutan disusu-susukan, Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu 
Masihkan tunduk tersipu-sipu? 
Jangan takut melanggar pantang 
Jika pantang menghalang kemajuan; 

Jangan segan menentang larangan 
Jika yakin kepada kebenaran; 
Jangan malu mengucapkan keyakinan 

Jika percaya kepada keadilan. 
Jadilah bangsa yang bijaksana 
Memegang tali memegang timba 
Memiliki ekonomi mencipta budaya 
Menjadi tuan di negara Merdeka " 



NUKILAN : Usman Awang

*petikan eSiswa Ogos 2009 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan